GMMA GESA YB PASIR SALAK TARIK BALIK KENYATAAN DAN POHON MAAF KEPADA MAHASISWA

Kuala Lumpur, 12 Disember – Perbahasan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diadakan pada minggu ini telah mengundang banyak persoalan, bantahan, cadangan dan juga kritikan. Namun begitu ada juga nada yang menghina golongan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan iaitu mahasiswa.

Ahli sekretariat Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), saudara Ridzuan Mohammad berasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli parlimen Pasir Salak, YB Dato’ Tajuddin Abd Rahman yang mengatakan golongan mahasiswa pada hari ini adalah golongan pemalas dan tidak ikut isu-isu semasa.

Saudara Ridzuan menyatakan tidak seharusnya seorang ahli parlimen mengeluarkan kenyataan begini kerana seolah-olah semua mahasiswa hari ini tidak berguna dan tidak berkualiti kepada negara dengan tidak menunjukkan bukti yang kukuh.

Hujah yang dikemukan itu tidak ada bukti yang jelas dan hanya berdasar pemerhatian kepada mahasiswa-mahasiswa yang hadir temuduga untuk masuk bekerja di kolej swasta beliau (Kolej YB Pasir Salak) iaitu sebahagian kecil sahaja.

Saudara Ridzuan, menggesa supaya YB Pasir Salak menarik balik kenyatan tersebut dan memohon maaf kepada mahasiswa sekiranya beliau betul-betul serius dan jujur mengenai pandangan beliau dalam isu pindaan AUKU.

Ahli-ahli parlimen samada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) seharusnya berbahas isu pindaan AUKU ataupun isu-isu lain dalam Dewan Rakyat secara rasional dan bukti-bukti serta hujah yang kuat bukannya secara emosional dan pemerhatian secara umum.

Ini kerana ahli-ahli parlimen dinilai oleh rakyat dengan kenyataan yang dikeluarkan. Janganlah berbahas isu AUKU ini yang berkaitan golongan cerdik pandai dan juga berpendidikan ini seperti berbual di kedai kopi, tegas Ridzuan. -Mahasiswakini

http://mahasiswakini.com/archives/595

Advertisements

GMMA menggesa tolak pidaan AUKU

Kuala Lumpur, 11 Disember – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) telah mengadakan sidang media di Parlimen hari ini (11 Disember 2008) berkaitan dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sedang dibahaskan dalam parlimen. GMMA yang diwakili saudara Ridzuan Mohammad, Teh Yee Keong, Vinod dan beberapa lagi wakil mahasiswa hadir di parlimen 11 pagi.

Sidang media tersebut turut dihadiri beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menyokong pendirian GMMA iaitu YB Tian Chua (MP Batu), YB Charles Santiago (MP Klang), YB Liew Chin Tong (MP Bukit Bendera), YB Nurul Izzah Anwar (MP Lembah Pantai), YB Yusmadi Yusoff (MP Balik Pulau) dan beberapa lagi ahli parlimen.

GMMA dalam sidang media tersebut menggesa ahli parlimen menolak pindaan akta tersebut dan mencadangkan ditubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membincangkan dan mengkaji akta tersebut.

Isu ini seharusnya difikirkan secara serius kerana melibatkan aset negara yang sangat berharga iaitu mahasiswa selaras dengan cita-cita negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kepada negara. Bukti-bukti tindakan yang telah diambil terhadap mahasiswa melalui akta ini telah disebut dalam kenyataan GMMA tersebut.

Kerajaan Malaysia dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seharusnya mengambil kira pandangan yang telah diberikan oleh mahasiswa dan juga tenaga akademik. Desakan dan bantahan yang dibuat oleh GMMA dan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) mestilah dipandang serius dalam membincangkan isu ini kerana mereka ada kaitan secara langsung dengan akta ini –Mahasiswakini

http://mahasiswakini.com/archives/596