KENYATAAN AKHBAR : MAHASISWA MENYOKONG KERAJAAN YANG MANSUH AKTA ZALIM

    KENYATAAN AKHBAR

    GERAKAN MAHASISWA MANSUHKAN AUKU

    [15 September 2008]

    Mahasiswa menyokong Kerajaan yang mansuh Akta Zalim

Polemik nasional yang melibatkan kepelbagaian ragam dan karenah sosial mutakhir ini tampak kian meruncing. Saban hari mahasiswa semakin muak menyaksikan krisis dan kemelut sosial yang berlaku tanpa ada batas sempadannya. Hubungan murni antara kaum semakin diporak-perandakan. Sensitiviti keagamaan diremehkan. Kemelut politik semakin membahayakan.

Gerakan Mahasiswa Masuhkan AUKU (GMMA) menyatakan rasa kesal dan kecewa kami atas kegagalan pihak yang berkuasa untuk menyelesaikan fenomena kritikal di peringkat nasional ini. Bahkan saban hari masalah yang dihadapi negara dan seluruh isi rakyatnya semakin membimbangkan. Selepas beberapa siri kegagalan pihak berwajib untuk mengatasi beberapa persoalan tegar di dalam masyarakat termasuklah isu korupsi dan ketirisan, pengabaian tanggungjawab dan akauntabiliti, pencabulan hak asasi manusia dan ketidakadilan sosial dan sebagainya, kini ia diburukkan lagi dengan benih-benih ketegangan kaum yang kian hari kian meruncing.

Lantaran itu, kami di peringkat Gerakan Mahasiswa menyatakan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi terhadap sebarang usaha dan agenda islah dan reformasi demi kebaikan dan kepentingan rakyat Malaysia sejagat.  Kami optimis bahawa usaha untuk mengembalikan keharmonian dan kestabilan sosio-politik di Malaysia sudah tidak boleh lagi diharapkan kepada pihak-pihak yang mana mereka sendiri tidak mampu memberikan pendefinisian keadilan sejagat dalam konteks yang sebenar.

Namun, kami juga menyatakan tekad dan iltizam kami bahawa mana-mana pihak yang berhasrat untuk mentadbir Malaysia perlu meletakkan rakyat keseluruhannya sebagai prioriti nombor wahid (satu). Hak asasi manusia yang dilatari dengan prinsip keadilan dan kesentosaan perlu sentiasa diberikan perhatian tanpa sebarang kompromi yang munasabah.

Justeru itu, agenda untuk membebaskan mahasiswa daripada cengkaman undang-undang drakonian Akta Universiti Kolej Universiti (Pindaan 1975) 1971 haruslah dijadikan antara perkara pertama dan utama dalam memaknakan keadilan oleh pentadbir Malaysia. Selagi agenda ini tidak dilunaskan, selagi itulah pihak pemerintah berhutang dengan mahasiswa; samada pemerintah tersebut adalah Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Kami memasakkan pendirian kami bahawa AUKU adalah akta zalim dan seharusnya telah lama dikuburkan. Namun, pengabaian secara sengaja oleh parti yang memerintah pada waktu ini untuk memansuhkan AUKU membuktikan betapa mereka telah gagal memahami keperluan dan kepentingan untuk melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang progresif dan dinamik demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Atas dasar ini, kami menyatakan kesediaan kami untuk bertemu dengan Ketua Pembangkang yang baru, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan agenda pembebasan mahasiswa (students’ emancipation) secara terperinci melalui pemansuhan AUKU.Dan kami juga akan menandatangi satu perjanjian MOU dengan DSAI mengenai pemansuhan auku.

Kami optimis bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan menghampakan hasrat dan keinginan kami untuk bersemuka dengan beliau bagi menyatakan harapan mahasiswa yang kini perlu digalas oleh beliau. Pengalaman beliau sebagai salah seorang aktivis mahasiswa pastinya akan memberikan pencerahan (enlightment) terhadap peranan dan tanggungjawab sosial mahasiswa di Malaysia.

Kami menegaskan bahawa mahasiswa bukanlah sebuah entiti yang mudah dipengaruhi  oleh mana-mana figura politik nasional. Kami berdiri di atas paksi kebenaran dan keadilan demi kesentosaan Malaysia yang sebenar. Kesediaan kami untuk bertemu dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim lahir daripada kekecewaan dan kekesalan kami terhadap parti pemerintah yang telah gagal untuk merealisasikan harapan dan cita-cita kami di peringkat mahasiswa.

Tempoh 37 tahun semenjak AUKU mula-mula digubalkan bukanlah suatu masa yang pendek dan kami tidak akan lagi meletakkan harapan kami kepada pihak tidak langsung mengiktiraf kewujudan dan peranan kami terhadap pembinaan sebuah negara Malaysia yang cemerlang.

    Tambahan pula, kami ingin membangkitkan bahawa Priviate higher education act akan digubal selepas pergubalan Auku dan selepas pengubalan tersebut, akta tersebut akan menyekat  student seperti akta 15 dan 16 dalam auku. Dan ini akan mempengaruhi kebebasan akademi, autonomi universiti dan autonomi student yang sedia ada.Kami juga mempertikaikan bahawa ketua eksekutif KPT diberikan kuasa seperti menteri untuk menetapkan sekatan pada mahasiswa.
    Selain itu, GMMA akan memulakan satu roadshow di antara semua IPTA dan IPTS pada Sepetember hingga November dan kami akan mengedarkan satu booklet yang mengenali kezaliman Auku dan kepentingan Student Protection act (Magna charter Student Act) di kalangan mahasiswa-mahasiswi.
    Kami  juga berharap sesiapa pihak yang menyokong gerakan mansuh auku dan ingin memberikan tajaan penerbitan booklet, boleh menghubungi Teh Yee keong 017-6665300 atau tehyeekeong@yahoo.com

    Terima kasih

    Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU

    15 September 2008

Advertisements

Pindaan AUKU Jangan Sekerat-sekerat

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikemukan oleh kerajaan mesti menyeluruh dan “bukan sekerat-sekerat”, kata Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

“Kami bukan hendak sangat terlibat (dalam pindaan AUKU). Tetapi, hak-hak mahasiswa mesti dijamin betul-betul, bukan sekerat-sekerat.

“Perkara ini penting, mahasiswa (di masa depan) akan menentukan kepimpinan negara,” kata penyelidik perundangan gabungan itu Faridzul Nasarudin yang turut mewakili GMMA bertemu ahli-ahli politik, termasuk timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Harun.

Pertemuan yang bermula 17 Julai lalu bertujuan membincangkan pindaan akta tersebut yang dijadualkan dibahaskan Ogos depan.

Pihak lain yang ditemui termasuklah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) dan Pakatan Rakyat.

Menurut Faridzul, yang juga presiden Persatuan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, aktivisme mahasiswa dalam politik “biar terlibat sepenuhnya”, termasuklah dalam persatuan berasaskan politik dan program-program politik.

Alasan bahawa pembabitan itu boleh mengganggu prestasi akademik pelajar tidak boleh diterima, tambahnya.

“Selama ini prestasi (akademik) tidak juga bagus. Mungkin dengan formula baru ini (terlibat dengan politik) akan memberi kebaikan kepada mahasiswa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, GMMA mahukan AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru – termasuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan gabungan itu dalam ‘Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008’.

Pada 25 Jun, GMMA mengemukakan “akta alternatif” itu kepada kerajaan yang dianggap dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.

Akta alternatif ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Faridzul yang turut terlibat dalam penyelidikan merumus piagam itu berkata dokumen itu diserahkan kepada kepada Idris dalam pertemuan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan itu, lima ahli BNBBC termasuk pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim.

GMMA disertai sepuluh wakil termasuk penyelarasnya Teh Yee Keong dan anggota-anggota persatuan bawah gabungannya.

Pemansuhan akta itu seperti mereka bawa bagaimanapun, menurut Faridzul, tidak dipersetujui oleh Idris dan wakil-wakil BNBBC.

Faridzul mencadangkan AUKU dimansuhkan dahulu sebelum menggubal akta baru.

“Akta-akta baru tentang pentadbiran dan kebebasan akademik, (boleh) fikirkanlah (kemudian). Yang penting, mansuhkan dulu (AUKU), kemudian kalau ada bahagian yang sesuai, ambil. AUKU mesti dimansuhkan. AUKU telah lama menghantui mahasiswa,” katanya.

Perkara lain yang dipersoalkan oleh gabungan itu, kata Faridzul, termasuklah bidang kuasa menteri dalam “mengklasifikasikan halal-haram sebuah persatuan”.

Menurutnya, dalam pertemuan, Idris mempertahankan peranan kementeriannya untuk menguruskan pentadbiran universiti.

Mereka juga menuntut kerajaan menubuhkan jawatankuas khas membincangkan pindaan AUKU tetapi idea itu tidak dipersetujui kerana BNBBC menganggap cadangan GMMA “merupakan idea pembangkang”.

Aduan dan cadangan mereka mereka tentang tatacara pilihanraya kampus bagaimanapun diberikan perhatian oleh BNBBC, tambah Faridzul.

Sehari selepas itu, GMMA bertemu wakil-wakil DAP dan PAS untuk tujuan yang sama.

GMMA merancang mengadakan forum kebangsaan membincangkan pindaan AUKU pada 8 Ogos melibatkan wakil kerajaan, pembangkang dan wakil mahasiswa, kata Faridzul.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, cadangan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin kelmarin untuk membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang menyampaikan ceramah di kampus yang ada kaitan dengan sesuatu bidang pengajian akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

“Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea,” kata exco akademik persatuan itu Mohd Ridzuan Mohammad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setelah  meneliti cadangan pindaan akta tersebut, PMIUM berharap dapat melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pindaan itu juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara,” katanya.

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/86878

Respon GMMA di HarakahDaily

 

Auku: Mahasiswa sifatkan kenyataan Menteri hanya kosmetik politik
Intan Abdullah
Wed | May 21, 08 | 6:40:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku hari ini menyifatkan apa yang telah dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin untuk meminda Akta tersebut yang disifatkan mengongkong mahasiswa itu sebagai kosmetik politik sahaja.

Koordinatornya, Shazni Munir ketika menghubungi Harakahdaily mendakwa pihak KPT hanya membuat pindaan tersebut ke atas sesetengah bahagian di dalam Auku yang tidak menyentuh mengenai tuntutan mahasiswa sebelum ini iaitu mengenai kebebasan bersuara dan penglibatan dalam politik .

“Ia tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga dan segala pindaan tersebut ibarat kosmetik politik bagi memperlihatkan seolah-olah KPT telah menunaikan segala permintaan mahasiswa selama ini untuk meminda Auku sejak kali terakhir ia digubal pada tahun 1971,” katanya.

Tegasnya, apa yang akan dipinda dalam Auku tersebut hanyalah menyentuh mengenai kegiatan-kegiatan sosial di kampus sekaligus tidak akan meninggalkan kesan kepada mahasiswa secara umumnya.

“Jika inilah yang dikatakan keterbukaan pihak kerajaan terhadap mahasiswa maka tidak hairanlah jika banyak pihak melihat generasi mahasiswa hari ini semakin lesu dan terkongkong.

“Dan pada masa yang sama, kami merasakan mahasiswa tidak boleh lagi mengharapkan pihak menteri KPT untuk menguruskan mengenai perkara ini,” tegasnya.

Malah, pihaknya akan mengusulkan cadangan Akta bagi menggantikan Auku selepas dibuat penelitian terhadap akta-akta yang berkaitan daripada negara-negara lain sebagai rujukan.

“Kita sedang menjalankan kajian mengenai akta yang berkaitan aktiviti mahasiswa di negara lain seperti Filipina, Indonesia, Korea, China dan sebagainya bagi membentuk akta yang baru menggantikan Auku,” katanya lagi.

GMMA adalah sebuah lagi koalisi kesatuan mahasiswa yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, Dema, Umany, Food Not Bomb, Teras dan beberapa Persatuan Mahasiswa Fakulti undang-undang di institusi Pengajian Tinggi Awam.

Shazni juga tidak menolak untuk menerima penyertaan sokongan daripada mana-mana persatuan mahasiswa yang lain dalam menyuarakan isu tersebut. – mks.

sumber : harakahdaily.net