Temubual 8 Mei 2008

Sanggahan terhadap salah faham terhadap AUKU

Oleh : Shazni Munir

Dalam orientasi penggubalan suatu rang undang-undang, ada satu istilah yang dipanggil ‘mala fide’ yang merujuk kepada penciptaan suatu undang-undang dengan niat yang & tujuan yang buruk. Jelas melalui penelitian ahli umdang-undang, AUKU digubal atas suatu keadaan yang bersamaan dengan keadaan di atas. Buktinya, AUKU digubal sebaik sahaja berlaku bantahan demi bantahan dari mahasiswa ekoran kelemahan yang ketara sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei sewaktu Malaysia di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra (kini Allayarham) pada waktu tersebut. Rentetan itu, pada tahun 1971, rang undang-undang ini telah dibawa ke parlimen & diluluskan pelaksanaannya. Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1975, Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang memegang portfolio Menteri Pelajaran pada waktu tersebut, telah mengusulkan pindaan terhadap AUKU di parlimen & pindaan itu diluluskan walaupun jelas melalui pindaan ini, hak mahasiswa sebagai warganegara langsung terbunuh.

Penulis tertarik untuk memetik beberapa kenyataan Sdr Jabdin Juhat dalam artikelnya, “AUKU Tidak Mungkin Melemahkan Pemimpin Mahasiswa”. Pada peringkat awal, penulis sangat-sangat bersetuju kepada saranan yang beliau lontarkan agar pembawaan mahasiswa & gerakan mahasiswa harus bersifat ‘genuine’, iaitu tidak condong kepada mana-mana parti, sehingga sampai pada satu peringkat, mahasiswa bebas untuk mengkritik & menegur mana-mana pihak tanpa bersikap bias. Walau bagaimanapun, penulis sangat kecewa apabila beliau mengambil pendekatan untuk membela AUKU ini pada akhir artikel dengan alasan, AUKU ini sah penggunaannya & selari dengan perlembagaan.

Penulis merasakan bahawa kenyataan Sdr Jabdin ini bersifat semberono & terburu-buru. Penulis mengatakan sedemikian kerana pada hemat penulis Sdr Jabdin tidak meneliti secara cermat & menyeluruh kesemua kandungan AUKU tersebut. Mungkin juga Sdr Jabdin tidak perasan terdapatnya seksyen-seksyen di dalam AUKU sendiri yang bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebelum pergi lebih jauh, sukalah penulis ingatkan bahawa perjuangan memansuhkan AUKU ini bukanlah semata-mata untuk menghidupkan kembali gerakan mahasiswa yang telah lama terkubur mati. Jika itulah tujuannya, dari satu segi yang lain, AUKU secara hakikatnya telah ‘berjaya melahirkan’ aktivis-aktivis mahasiswa yang berani & cekal dengan mengambil sisi perjuangan untuk melanggar & melawan AUKU. Bahkan lebih jauh, perjuangan untuk memansukan AUKU ini adalah suatu usaha yang konsisten untuk mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tunjang perundangan negara.

Di sini penulis nyatakan serba ringkas akan kandungan AUKU yang secara jelas telah membontotkan Perlembagaan Malaysia. Pada Seksyen 15D (1) iaitu:-

“Jika seseorang pelajar universiti dipertuduhkan atas suatu jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus universiti itu atau kampus mana-mana universiti lain.”

Jelas di sini bahawa AUKU telah menjatuhkan hukuman kepada seseorang sebelum perbicaraan lagi. Dan seksyen ini telah membelakangkan hak kebebasan diri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua warganegara dalam Perkara 5 iaitu pada kaedah asasnya setiap warganegara adalah tidak bersalah sehingga dirinya benar-benar dibuktikan bersalah.

Sebenarnya terdapat banyak lagi aspek hak-hak kemanusiaan yang dinafikan di dalam AUKU ini. Bahkan antara percaya atau tidak, terdapat larangan secara jelas kepada mana-mana persatuan, untuk tidak memiliki alat pembesar suara!! Sukalah penulis ingin menanyakan sesuatu kepada Sdr Jabdin, “Adakah penggunaan alat pembesar suara seperti healer mengancam keselamatan & menggugat keharmonian negara ini???”

Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada Sdr Jabdin & rakan-rakan di luar sana agar tidak bersikap terlalu ‘lembut hati’ dengan AUKU ini. Penulis kira adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia untuk menolak sebarang bentuk undang-undang yang bercanggah & tidak selari dengan semangat perlembagaan ini.