Respon GMMA di HarakahDaily

 

Auku: Mahasiswa sifatkan kenyataan Menteri hanya kosmetik politik
Intan Abdullah
Wed | May 21, 08 | 6:40:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku hari ini menyifatkan apa yang telah dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin untuk meminda Akta tersebut yang disifatkan mengongkong mahasiswa itu sebagai kosmetik politik sahaja.

Koordinatornya, Shazni Munir ketika menghubungi Harakahdaily mendakwa pihak KPT hanya membuat pindaan tersebut ke atas sesetengah bahagian di dalam Auku yang tidak menyentuh mengenai tuntutan mahasiswa sebelum ini iaitu mengenai kebebasan bersuara dan penglibatan dalam politik .

“Ia tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga dan segala pindaan tersebut ibarat kosmetik politik bagi memperlihatkan seolah-olah KPT telah menunaikan segala permintaan mahasiswa selama ini untuk meminda Auku sejak kali terakhir ia digubal pada tahun 1971,” katanya.

Tegasnya, apa yang akan dipinda dalam Auku tersebut hanyalah menyentuh mengenai kegiatan-kegiatan sosial di kampus sekaligus tidak akan meninggalkan kesan kepada mahasiswa secara umumnya.

“Jika inilah yang dikatakan keterbukaan pihak kerajaan terhadap mahasiswa maka tidak hairanlah jika banyak pihak melihat generasi mahasiswa hari ini semakin lesu dan terkongkong.

“Dan pada masa yang sama, kami merasakan mahasiswa tidak boleh lagi mengharapkan pihak menteri KPT untuk menguruskan mengenai perkara ini,” tegasnya.

Malah, pihaknya akan mengusulkan cadangan Akta bagi menggantikan Auku selepas dibuat penelitian terhadap akta-akta yang berkaitan daripada negara-negara lain sebagai rujukan.

“Kita sedang menjalankan kajian mengenai akta yang berkaitan aktiviti mahasiswa di negara lain seperti Filipina, Indonesia, Korea, China dan sebagainya bagi membentuk akta yang baru menggantikan Auku,” katanya lagi.

GMMA adalah sebuah lagi koalisi kesatuan mahasiswa yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, Dema, Umany, Food Not Bomb, Teras dan beberapa Persatuan Mahasiswa Fakulti undang-undang di institusi Pengajian Tinggi Awam.

Shazni juga tidak menolak untuk menerima penyertaan sokongan daripada mana-mana persatuan mahasiswa yang lain dalam menyuarakan isu tersebut. – mks.

sumber : harakahdaily.net

PEMANSUHAN AUKU WAJIB DISEGERAKAN

Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) adalah suatu akta yang digubal pada tahun 1971 khusus untuk mengekang mahasiswa daripada menjadi ejen semak & imbang (check and balance) kepada kerajaan pada waktu tersebut. Bermula dengan Demonstrasi Anti Tunku yang membuat bantahan secara besar-besaran ekoran kegagalan kerajaan pimpinan Tunku Abduk Rahman Putra untuk menyelesaikan masalah kaum sehingga kegagalan itu telah mencetuskan Tragedi 13 Mei, kerajaan terus mengambil tindakan yang cukup drastik dengan menggubal akta gila ini sewaktu di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak pada tahun 1971. Tidak berhenti setakat itu, pada tahun 1974, kerajaan, di bawah Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) yang pada menjadi Menteri Pelajaran pada waktu itu telah membuat suatu pindaan yang langsung membunuh peranan mahasiswa sebagai ejen semak & imbang kepada kerajaan.

Keadaan ini berterusan sehinggalah negara Malaysia pada hari ini telah ‘berjaya’ menelurkan generasi mahasiswa yang bermentaliti untuk tidak ambil peduli kepada kesusahan & masalah masyarakat sekeliling, apatah lagi untuk menjadi pembela kepada rakyat jelata dalam hal-hal yang berbentuk penindasan & kezalliman. Ilmu-ilmu yang dipelajari di dewan-dewan kuliah sekadar menjadi tiket untuk lulus peperiksaan, dan langsung tidak berperanan dalam membentuk paradigma mereka untuk menjadi kelompok yang cukup kritikal dalam berhadapan dengan kebobrokan di sekeliling mereka.

Bahkan kalau adapun di kalangan mahasiswa ini yang sedar & ada daya sensitiviti terhadap kejelikan yang membadai dalam masyarakat khususnya yang berpunca dari dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah atau sesiapa sahaja, ianya hanya terbatas kepada ‘cakap-cakap kedai kopi’ dan tiada tindakan yang progresif untuk menangani masalah tersebut, Sebabnya hanyalah satu, ketakutan yang terlalu membabi-buta terhadap AUKU, tanpa menyelidiki apa sebenarnya AUKU ini.

Sukalah di sini untuk dinyatakan bahawa AUKU & Tribunal Universiti merupakan 2 elemen rimba yang secara terang-terangan telah membontotkan Perlembagaan Persekutuan sendiri. Sebagai contoh, antara penganiayaan yang melampau yang terdapat pada AUKU ialah pada Seksyen 15D (1) menyatakan bahawa:-
“Jika seseorang pelajar universiti dipertuduhkan atas suatu jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus universiti itu atau kampus mana-mana universiti lain.”
Jelas di sini bahawa AUKU telah menjatuhkan hukuman kepada seseorang sebelum perbicaraan lagi. Dan seksyen ini telah membelakangkan hak kebebasan diri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua warganegara dalam Perkara 5 iaitu pada kaedah asasnya setiap warganegara adalah tidak bersalah sehingga dirinya benar-benar dibuktikan bersalah.

Lantas mahasiswa sepatutnya tidak perlu berasa gentar apatah lagi berasa terancam dengan undang-undang yang bersifat kebudak-budakan ini kerana secara asasnya hak-hak mereka sangat terjamin di bawah perlembagaan. Oleh yang demikian, tiada resolusi yang lebih tepat untuk akta yang mengarut ini melainkan ianya DIMANSUHKAN DENGAN SEGERA dan dibuang terus daripada kitab perundangan negara.
Justify Full
Kita yakin dan percaya, mahasiswa bukanlah golongan penjenayah yang mesti dilayan secara biadab dan kurang ajar. Bahkan jauh lebih itu, mahasiswalah golongan yang diharap-harapkan untuk menentukan halatuju negara pada masa akan datang. Justeru, layanlah mahasiswa sebagai kelompok yang ada idealismenya yang tersendiri, yang secara pembawaannya bebas daripada sebarang kepentingan politik dan laba keuntungan material.

Oleh yang demikian, biarkanlah mahasiswa bebas,sebebas burung yang berterbangan di langit tinggi. Juga biarkanlah mahasiswa lantang bersuara, kerana kelantangan itu pastinya untuk kepentingan negara yang disayangi ini. Ironisnya, andai mahu melihat generasi akan datang tampil dengan gaya seorang pemimpin yang berjiwa reformis, kita masih berpeluang. Dan peluang itu hanya akan terbuka jika AUKU ini ‘DITAMATKAN PERKHIDMATANNYA’.